JenayahNasional

2 lagi ditahan berkait kes rekrut pekerja asing

Jumlah ditahan, 10 termasuk CEO syarikat IT

DUA lagi individu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dikaitkan dengan pengambilan pekerja asing.

Penahanan dua lagi invidu ini adalah susulan daripada penahanan lapan yang lain semalam bagi membantu siasatan kes itu.

Memetik laporan FMT hari ini, sumber SPRM berkata, dua suspek lelaki itu ialah ahli perniagaan dan pemilik agensi pekerjaan.

Masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an dan ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi serta tengah malam tadi di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, katanya.

“Ahli perniagaan itu disiasat kerana menerima rasuah lebih RM1 juta manakala pemilik agensi pekerjaan itu pula disyaki menyogok sebuah syarikat yang menyediakan platform bagi permohonan pekerja asing,” katanya lagi.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman tiga hari, bermula hari ini terhadap dua suspek terbabit.

Semalam, SPRM menahan lapan individu dengan enam daripadanya direman tiga hari sehingga esok manakala dua lagi iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, dilepaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka diambil.

Lapan individu yang ditahan itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat IT berusia 50-an yang didakwa menerima rasuah antara RM800 dan RM1,500.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim mengesahkan tentang penahanan tersebut.

Bulan lalu, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju membenarkan pekerja asing dari 15 negara sumber bekerja dalam industri pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

Keputusan itu dicapai berikutan mesyuarat antara dua kementerian itu untuk membincangkan pengambilan dan pembekuan pekerja asing yang diumumkan Jakarta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementerian tertentu dilantik untuk menguruskan pengambilan pekerja asing dalam industri terbabit iaitu Kementerian Pengangkutan bagi pengambilan pekerja berkemahiran rendah dalam subsektor gudang darat.

Sementara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk industri sarang burung. – SM

 

(Visited 287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button