Nasional

Polis tahan lelaki buang sampah dalam sungai

Polis telah menahan seorang lelaki yang dirakam video membuang sampah ke dalam sungai di Pontian.

Ketua Polis Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata lelaki itu ditahan kira-kira jam 7 malam Khamis.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh ketua balai polis Pontian pada petang Khamis selepas dia terjumpa video di laman Facebook Komuniti Roda Johor menunjukkan seorang lelaki membuang beberapa barangan dipercayai sampah dari sebuah lori ke dalam sungai.

“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah jambatan di Sungai Wak Rabin Batu 33 di sini,” kata Mohammad Shofee dalam satu kenyataan.

Beliau berkata petang itu, polis berjaya mengesan lelaki berusia 52 tahun itu dan lori yang kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis daerah Pontian.

“Saringan ujian air kencing dijalankan terhadap suspek yang didapati negatif.

“Seterusnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan 52 LN 166/59 dan kerana memandu tanpa Lesen Memandu Barang,” kata Mohammad Shofee.

Katanya, lori itu juga akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

“Suspek turut diserahkan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) daerah untuk tindakan lanjut.

Dalam video berdurasi 36 saat itu, seorang lelaki dilihat memberhentikan sebuah lori di atas jambatan sebelum membawa sampah dari kenderaan itu dan membuangnya ke dalam sungai.

 

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button