Ekonomi

Alaska Mining jual 51 peratus kepentingan kepada pakar teknologi Australia

 Alaska Mining Sdn. Bhd. (Alaska Mining) mengumumkan bahawa pemegang saham tunggalnya, Lee Hon Kit akan menjual 51 peratus kepentingan dalam syarikat bernilai 5.0 juta dolar Australia (RM15.2 juta) di bawah perjanjian jualan saham kepada Nanopac Alaska Sdn Bhd (NASB).

NASB adalah unit kepada Nanopac Innovation Limited (“Nanopac”), yang disenaraikan di National Stock Exchange of Australia yang berpangkalan di Sydney.

Secara asasnya Nanopac terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pengedaran dan memberi perkhidmatan berkaitan bahan dan produk teknologi nano.

Perniagaan lain Nanopac merangkumi panel NanoSolar dan membekal bahan mentah kepada industri cat.

Lee adalah pemegang saham tunggal Alaska Mining, iaitu pakar bagi kerja-kerja tanah dan perlombongan serta pedagang bagi pelbagai jenis barangan dan penyedia perkhidmatan logistik.

Di bawah perjanjian itu, penjualan 51 peratus kepentingan di dalam Alaska Mining oleh Lee kepada NASB akan disempurnakan dengan penerbitan saham baru dalam Nanopac yang akan dibayar secara dua peringkat.

Peringkat pertama saham baru yang berjumlah 2.5 juta dolar Australia (RM7.7 juta) akan dibayar secara pendahuluan selepas perjanjian jualan saham manakala peringkat kedua saham baru berjumlah A$2.5 juta dolar Australia  (RM7.7 juta) akan dibayar selepas Syarikat mencapai untung bersih A$5.0 juta dolar Australia (RM15.2 juta).

Sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan saham, Encik Lee akan dilantik menjadi pengarah urusan Alaska Mining.

Alaska Mining telah diberi hak melombong pasir untuk diproses menjadi silika dan ilmenit, di mana sebuah kumpulan perniagaan China telah bersetuju untuk perjanjian dagangan berhubung sebahagian daripada ilmenit yang dihasilkan.

Lee menyatakan bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan NASB dan Nanopac membangunkan perniagaan melombong dan pada masa yang sama memastikan terdapat aliran tetap silika bagi pengeluaran panel Nano-Solar dan ilmenit bagi produk catnya.

“Perolehan ini memberi kelebihan kepada Nanopac kerana ia memastikan aliran tetap bahan mentah bagi panel Nano-Solar dan produk sedia ada, yang sekiranya tidak, perlu diperoleh daripada pihak ketiga.”

“Operasi perlombongan juga memberi sumber pendapatan berulang kepada Nanopac kerana silika dan ilmenit yang tidak diperlukannya akan dijual kepada pihak lain di samping memastikan operasi perlombongan kekal mapan secara komersial, berikutan perjanjian dagangan dengan kumpulan perniagaan China.”

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif NASB, Tobby Tan berkata, “Kami mengalu-alukan kedatangan Encik Lee ke keluarga Nanopac dan kami percaya bahawa dengan pengetahuan dan pengalamannya, kami akan dapat mengembangkan lagi perniagaan perlombongan ini.

“Kami juga percaya bahawa perolehan kepentingan ini akan menambah kepada keupayaan  pengeluaran kami dan adalah sesuatu yang positif kepada perkembangan perniagaan panel solar dan cat Nanopac.” – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button