Nasional

Raja Muda Perlis titah tingkat kesedaran keselamatan dan perbanyak laluan basikal

Dengan peningkatan bilangan peminat aktiviti berbasikal sejak akhir-akhir ini, adalah menjadi satu keperluan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan kempen keselamatan dengan lebih bersepadu melalui radio, televisyen serta media sosial bagi memberi kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan ketika berbasikal.

Setiap negeri juga boleh memikirkan untuk membina lebih banyak laluan khas kepada penunggang basikal seperti yang sudah dilaksanakan di Pulau Pinang, Putrajaya dan beberapa tempat lain ketika ini. Ianya bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti riadah ini dengan lebih selesa dan selamat.

Pada masa yang sama menguatkuasakan peraturan kepada para penunggang basikal perseorangan mahupun berkumpulan di mana pihak berwajib boleh berbincang dan menetapkan peraturan bagi penunggang yang menunggang di kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan dan kecederaan seperti di lebuh raya, kawasan hutan, berbukit, pendalaman dan sebagainya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Program UniMAP Ride Sempena Sambutan Hari Malaysia, Tahun 2020’ yang diadakan di Dataran Kampus Uniciti Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Sungai Chuchuh, Padang Besar semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad serta pihak pengurusan tertinggi universiti.

Program ‘Fun Ride’ sejauh 20 km tersebut disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Kali ke 44 bagi tahun 2020’ bagi menjejaki dan menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih untuk menyerahkan agihan zakat MAIPs serta sumbangan iklhlas daripada warga kerja UniMAP.

Antara lokasi lain yang baginda beserta para peserta lain turut singgah adalah Masjid Al-Azim Kg Titi Tinggi, Masjid Nurul Naim Felda Lubuk Sireh, Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tuanku Tengku Fauziah dan Titian Kanopi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Mata Ayer.

(Visited 306 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button