Nasional

Semua salinan asal laporan audit 1MDB dilupus, kecuali satu disimpan

BEKAS Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengarahkan semua salinan laporan audit asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilupuskan kecuali satu salinan disimpan.

Ambrin, 70, berkata salinan yang tidak dilupuskan itu diletakkan di bawah simpanan pegawainya iaitu Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad.

Beliau berkata laporan asal, yang dicetak sebanyak 60 salinan, tidak lagi boleh digunakan kerana Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mahukan perubahan dibuat.

“Selepas perbincangan dengan Arul Kanda, pasukan audit meminta kebenaran saya tentang perubahan yang boleh dibuat berdasarkan justifikasi bahawa ia telah diteliti secara terperinci.

“Oleh itu, laporan audit 1MDB Jabatan Audit Negara (JAN) yang sudah dicetak tidak lagi boleh digunakan kerana ada perubahan. Saya mengarahkan semua laporan audit 1MDB yang sudah dicetak dilupuskan kecuali satu untuk simpanan Nor Salwani.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria pada hari kelima perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

“Sebagai Ketua Audit Negara saya mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu walaupun dokumen itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Saya telah terima perakuan di bawah undang-undang. (Mengikut) Peraturan di bawah OSA, anda perlu dapatkan pensijilan dokumen pemegang OSA. Jadi saya boleh mengendalikan, menyimpan untuk kegunaan dalaman,” katanya.

Salinan tunggal laporan 1MDB yang asal dan tidak dilupuskan itu dijadikan sebagai bukti utama dalam perbicaraan itu.

Ambrin berkata perubahan kepada laporan audit itu dibuat berikutan maklum balas Arul Kanda dalam dua mesyuarat sebelumnya, pertama dengan Najib pada 22 Feb 2016 dan satu lagi pada 24 Feb 2016 dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beberapa pegawai kerajaan lain.

“Mesyuarat bertarikh 24 Feb 2016 memberi tekanan pada JAN untuk mempertimbangkan pendengaran atau menerima maklum balas yang diberikan oleh pengurusan 1MDB walaupun tempoh masa yang panjang sudah diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata laporan audit asal itu tidak mengandungi maklum balas 1MDB kerana syarikat itu tidak pernah memberi maklum balas atas permintaan tersebut.

Ketika menjelaskan mengenai dapatan pengauditan oleh JAN, saksi berkata rumusan yang dibuat daripada laporan pengauditan 1MDB yang dijalankan oleh JAN, mendapati bahawa prestasi kumpulan syarikat 1MDB adalah kurang memuaskan kerana 1MDB menghadapi masalah hutang dan aliran tunai yang lemah dalam hanya enam tahun beroperasi.

“Selain itu, pengurusan tadbir urus 1MDB sangat lemah seperti tidak mematuhi arahan dan keputusan lembaga pengarah serta pelaburan-pelaburan yang besar dibuat tanpa penilaian terperinci.

“JAN mendapati bahawa cara perniagaan 1MDB bergantung kepada pinjaman di dalam dan luar negara sebenarnya merupakan bebanan kepada 1MDB. Ini adalah kerana pinjaman yang dibuat oleh syarikat itu adalah melebihi pendapatan 1MDB dan 1MDB tidak membuat keuntungan,” katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sementara Arul Kanda, 43, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – BERNAMA

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button