Nasional

Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk berhubung kejadian pencemaran air

KENYATAAN Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini yang disiarkan sebuah portal berita bahawa tiada tindakan diambil Jabatan Peguam Negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April lepas adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau berkata sehingga kini Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor.

“Pada 17 Mac 2020, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) melalui siaran media memaklumkan bahawa keempat-empat loji rawatan air di Sungai Selangor telah dihenti tugas bermula 17 Mac, pukul 7 malam, akibat pencemaran bau dalam air mentah pada tahap 2 TON.

“Lanjutan itu, siasatan bersepadu bersama oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Exco Alam Sekitar Selangor telah dijalankan. 30 tawaran kompaun di lapangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM60,000 kepada pemilik premis Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. di Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kg. Sungai Dua, Rawang telah dikeluarkan,” katanya.

Idrus berkata kompaun itu dikeluarkan tanpa apa-apa rujukan kertas siasatan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara.

Selanjutnya, katanya dalam kejadian terbaru pada 3 Sept apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, Jabatan Peguam Negara hanya dimaklumkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh agensi-agensi yang berkaitan dan kertas siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya. – BERNAMA

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button