Nasional

Isu jemaah tabligh di India rumit, kerajaan berjaya bawa 62 pulang

ISU yang melibatkan jemaah tabligh Malaysia yang terkandas di India adalah rumit kerana kumpulan itu telah melanggar undang-undangan negara terbabit.

Bagaimanapun Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussein bersyukur kerana kerajaan berjaya membawa pulang seramai 62 jemaah terbabit ke Malaysia pagi tadi.

“Saya tak nafi, ia rumit dan perlukan masa kerana mereka telah melanggar undang-undang Kerajaan India. Syukur, selepas pelbagai usaha dibuat, isu ini selesai.

“Sebahagian besar telah dibebaskan pihak berkuasa India dan kumpulan pertama seramai 62 orang telah pulang ke Malaysia pagi ini,” kata Hishammuddin.

Video jemaah terbabit tular di media sosial pada awal April lalu selepas mereka ditahan oleh pihak berkuasa India.

Dalam video itu, jemaah terbabit mendakwa kerajaan India menggunakan taktik membawa mereka ke pusat kesihatan untuk diperiksa berikutan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Bagaimanapun selepas tiba di pusat kesihatan mereka kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa negara itu.

“Pada 3 April lepas ramai tanya saya tentang video viral Jemaah Tabligh kita ditahan pihak berkuasa India kerana didakwa menyalahgunakan visa lawatan sosial untuk aktiviti keagamaan.

“Esoknya, saya terus maklum bahawa Wisma Putra telah hubungi Kerajaan India untuk dapatkan maklumat lanjut.

“Saya juga minta Perwakilan Malaysia di India segera hulur bantuan termasuk barangan asas harian serta ubat-ubatan,” kata Hishammuddin.

Jelas beliau, sejak tarikh tersebut Wisma Putra terus melakukan pelbagai pendekatan termasuk proses diplomasi serta menyediakan khidmat guaman.

Hishammuddin berterima kasih kepada kerajaan India kerana memberi kerjasama penuh untuk menyelesaikan isu terbabit.

Beliau turut berterima kasih kepada hali keluarga jemaah tabligh berkenaan kerana faham dengan situasai yang dihadapi kerajaan dan jemaah terbabit.

“Terima kasih ahli keluarga Jemaah Tabligh dan rakyat Malaysia kerana faham, sabar menunggu serta mendoakan agar isu ini dapat diselesaikan.

“Terima kasih juga Kerajaan India kerana beri kerjasama penuh dalam perkara ini,” kata Hishammuddin.

Tiga hari lalu, Hishammuddin mendedahkan sebanyak 189 jemaah tabligh Malaysia dilaporkan masih terkandas di India.

Menjelaskannya, beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 157 jemaah berada di New Delhi, Chennai (23 jemaah) dan sembilan di Mumbai.

“Ada antara mereka yang telah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman, sementara ada juga yang didakwa namun masih menunggu proses kehakiman.

“Rakyat Malaysia perlu faham bahawa mereka sememangnya bersalah kerana menyalahgunakan visa lawatan sosial,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Rabu lalu.

Pesawat membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.31 pagi tadi.

Kesemua 96 termasuk 62 jemaah tabligh dibawa pulang dalam misi kemanusiaan menggunakan penerbangan sewaan khas Malindo Air, yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Seramai 34 individu lagi terdiri daripada kakitangan kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang di India ditutup, manakala baki 11 orang adalah kru Malindo Air.-SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button