fbpx
Nasional

174 rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi semula

KEMENTERIAN Perpaduan Negara memaklumkan, 174 rumah ibadat bukan Islam diluluskan untuk beroperasi semula pada 10 Jun ini.

Bagaimanapun, operasi kesemua rumah ibadat berkenaan perlu mengikut dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Ibadat Dalam Zon Hijau.

Kementerian berkenaan dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, permohonan yang diluluskan adalah mengikut ketetapan yang digariskan dalam SOP.

SOP yang ditekankan termasuklah bilangan kehadiran maksimum 30 orang serta tertakluk kepada saiz atau keluasan rumah-rumah ibadat berkenaan.


Menurut kenyataan yang sama, kelulusan untuk rumah-rumah ibadat berkenaan beroperasi dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 21 Mei lepas.

“Kementerian ingin mengingatkan bahawa hanya rumah ibadat yang telah mendapat kelulusan mengikut hari dan masa beroperasi akan dibenarkan bermula pada 10 Jun 2020,” kata kenyataan itu seperti mana dipetik dalam laporan BERNAMA.

Antara rumah ibadat di bawah badan agama berkenaan ialah Fo Guang Shan, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, National Evangelical Christian Fellowship Malaysia, Malaysia Hindu Sangam, Majlis Gurdwara Malaysia dan Persekutuan Pertubuhan Tao Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, pembukaan rumah ibadat yang lain perlu dimohon melalui badan agama masing-masing.

Permohonan yang telah dibuat itu seterusnya perlu dikemukakan kepada Kementerian Perpaduan Negara mengikut prosedur yang ditetapkan selepas 10 Jun.

“Permohonan-permohonan yang diterima akan dibawa oleh pihak kementerian kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk kelulusan dari semasa ke semasa,” ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan, urusan perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama pula ditangguhkan sehingga 31 Julai ini berdasarkan pada surat Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bertarikh 12 Mei 2020. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button