fbpx
Nasional

1,712 pesakit Covid-19 bawah 18 tahun

SEBANYAK 1,712 atau 19.9 peratus kes Covid-19 adalah dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah itu sebanyak 346 kes adalah dalam lingkungan 16 tahun sehingga 18 tahun.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, tiada kes kematian atau kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dilaporkan melibatkan kumpulan umur tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa kes Covid-19 dalam kumpulan umur ini mempunyai kadar penyembuhan yang lebih baik,” kata Dr. Noor Hisham.

Justeru beliau mengingatkan pembukaan semula sekolah adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah disediakan.

SOP tersebut membolehkan pelajar yang akan kembali ke sekolah lebih yakin untuk berbuat demikian tanpa sebarang keraguan dan kerisauan.


“Ibubapa juga diingatkan supaya memastikan anak-anak mereka sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Ini termasuk mengamalkan kebersihan kendiri yang tinggi dan penjarakan sosial yang selamat sepanjang masa di dalam mahupun di luar kawasan sekolah.

“Kerjasama ibubapa, pelajar dan kakitangan sekolah adalah amat penting bagi memastikan tidak berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di sekolah,” kata Dr. Noor Hisham.

Sesi persekolahan bakal bermula esok secara berperingkat. Sebagai permulaan ianya hanya melibatkan pelajar kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua institusi pendidikan telah ditutup selama lebih dari tiga bulan.

Antara langkah-langkah pencegahan yang termasuk dalam garis panduan adalah:

Pemeriksaan suhu di pintu masuk sekolah dijalankan bagi semua pelajar, kakitangan dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah. Individu yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5⁰C atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah;

Pelajar akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap sepanjang waktu di sekolah;

Penjarakan sosial diamalkan di kelas, di mana meja-meja disusun pada jarak satu (1) meter. Kapasiti maksimum untuk sebuah kelas adalah tidak melebihi 20 murid manakala di luar kelas, kapasiti bergantung kepada keluasan ruang tersebut;

Waktu rehat adalah secara berperingkat dan pelajar dikehendaki beratur mengikut tanda penjarakan semasa membeli makanan di kantin;

Aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan, kokurikulum secara bersemuka dan perhimpunan sekolah belum boleh dilaksanakan lagi.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button