NasionalNegeri

160 penduduk terima geran penempatan Desa KEDA

IMPIAN memiliki rumah kediaman tertunai akhirnya. Kegembiraan berganda dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi 160 peserta Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) apabila menerima geran hak milik penempatan mereka.

Lebih bermakna lagi apabila penyeraghan geran dilakukan sendiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu majlis khas di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, hari ini.

Penyerahan geran itu melibatkan tiga buah kampung iaitu Desa KEDA Bendang Perang, Desa KEDA Kampung Bukit dan Desa KEDA Derang.

Dalam sidang media usai majlis itu, Mahdzir berkata, proses pemindahan hak milik dilakukan kepada penduduk selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria dan syarat yang ditetapkan KEDA.

“Antaranya, penghuni di Desa KEDA mesti berdisiplin dan menunjukkan keperibadian yang memuaskan serta tidak melanggar peraturan ditetapkan selain tidak terbabit dengan gejala negatif.

“Jika syarat itu dipenuhi kita akan beri keutamaan untuk mendapat hak milik dimana tanah dan rumah yang dimiliki ini adalah satu aset yang tidak ternilai harganya serta perlu dipelihara untuk diwarisi sehingga anak cucu,” katanya.

Beliau berkata, usaha menyerahkan geran hak milik kepada semua peserta Desa KEDA di seluruh Kedah dimulakan pada 2015.

Untuk rekod, KEDA mempunyai 3,862 unit rumah di 44 buah kampung dibawah Program Penempatan Desa KEDA.

Sejumlah 2,778 unit kediaman telah diberikan hak milik oleh KEDA kepada pesertanya.

“Daripada jumlah itu, KEDA telah selesai melaksanakan proses pindah milik sebanyak 838 unit kepada penduduk yang layak manakala baki 1,940 unit lagi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” kata Mahdzir.

Pada majlis tersebut, hadir sama, Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib. – SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button