Nasional

Perdana Menteri lancar papan pemuka digital dibangunkan oleh LAKSANA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Papan Pemuka Digital yang berupaya menghubungkan data daripada 53 kementerian dan agensi yang terlibat dalam pelaksanaan pakej-pakej rangsangan bernilai RM295 bilion.

Pelancaran itu dilakukan hari ini sempena lawatan kerja rasmi Muhyiddin ke unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang juga pihak yang membangunkan Papan Pemuka Digital itu di Kementerian Kewangan.

Menurut kenyataan media Pejabat Perdana Menteri, pendekatan itu bagi membolehkan kerajaan bertindak secara dinamik dan segera berdasarkan data raya dalam usaha membuat keputusan, memastikan keberkesanan penyampaian bantuan serta perkhidmatan.

Ia turut membantu bagi membuat penghalusan yang perlu bagi memastikan bantuan kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), benar-benar diterima oleh kumpulan yang disasarkan.

“Pengumpulan data secara berpusat dan langsung yang dipaparkan melalui Papan Pemuka Digital ini adalah hasil kerjasama antara kementerian dan agensi, selaras dengan usaha kerajaan ke arah e-pelaksanaan sebagai persediaan untuk Revolusi Industri 4.0 serta anjakan menghadapi norma baharu,” kata kenyataan itu.

Lawatan perdana menteri ke unit LAKSANA itu bagi meninjau operasi serta status pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020), PRIHATIN dan PENJANA.

Beliau telah diiringi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Pengarah LAKSANA, Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim.

Muhyiddin turut diberi taklimat mengenai usaha-usaha LAKSANA termasuk laporan mingguan pencapaian pakej PRIHATIN dan PENJANA oleh Menteri Kewangan.

Selain itu, usaha LAKSANA dalam memantapkan jalinan kerjasama antara sektor awam dan swasta juga merupakan tunjang utama bagi menjayakan pelan pemulihan ekonomi negara. – SUMBER BERNAMA-SM

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button