Alam SekitarNasionalPencemaran

Pencemaran bau: 3 LRA di Selangor berisiko henti tugas

LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan terdapat insiden pencemaran bau seakan diesel sehingga tiga ton dikesan di Stesen Pemantau Sungai Seksyen 3, Bangi, Selangor pada pukul 11.15 pagi semalam yang berisiko menyebabkan tiga loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian dalam kenyataannya berkata, Ops Sumber Air Negeri Selangor yang dikendalikan oleh LUAS bersama agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Air Negara (SPAN) dan Air Selangor telah mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

“LUAS sudah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh ke kawasan terbabit di hulu muka sauk yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Semenyih 2, LRA Bukit Tampoi dan LRA Labohan Dagang.

“Anggaran jarak lokasi pencemaran ke tiga muka sauk LRA Semenyih 2 adalah 6.63 kilometer (km); LRA Bukit Tampoi (18 km) dan LRA Labohan Dagang (31.9 km),” katanya.

Beliau berkata, LUAS telah menjalankan siasatan di beberapa lokasi di Sungai Balak dan ujian pensampelan bau mencatatkan bau sehingga dua ton.

Katanya, manakala di Sungai Sekamat dan di kawasan hulu Sungai Hulu, tiada sebarang penemuan berkaitan pencemaran bau dikesan.

Katanya lagi, sehingga puul 5 petang semalam, tiada lagi kesan bau seakan minyak di sekitar Sungai Balak.

“Dalam pada itu, LUAS juga menjalankan pemantauan statik dan pensampelan di sekitar Jambatan Kampung Teras Jernang dan pensampelan ujian bau dijalankan setiap 30 minit,” ujarnya.

Tambah beliau,  bacaan yang diperoleh adalah sekitar dua ton dan sehingga 9 malam tadi tiada sebarang pencemaran dikesan di kawasan muka sauk LRA.

LUAS dan Air Selangor, jelas beliau, masih lagi menjalankan siasatan terhadap punca pencemaran bau itu dan kekerapan pensampelan bau LUAS di Sungai Langat juga dipertingkatkan daripada satu jam kepada 30 minit bagi memantau rapi status semasa air sungai.

Selain itu katanya, LUAS akan mempergiatkan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama untuk memastikan insiden pencemaran tidak menjejaskan operasi LRA dan bekalan air kepada pengguna. – SM

(Visited 271 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button