Ekonomi

Sumbangan ceria ke sekolah TNB penuhi keperluan golongan sasar

Tanpa gagal sejak lapan tahun lalu, Tenaga Nasional Berhad, TNB, terus menceriakan anak-anak sekolah dengan sumbangan pelbagai peralatan persekolahan menerusi Program ‘Ceria Ke Sekolah’.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB itu, sebelum ini dikenali sebagai ‘Back To School’ yang mensasarkan bantuan untuk golongan B40 di seluruh negara.

Untuk tahun 2021, TNB telah memperuntukkan sejumlah tiga juta ringgit untuk disalurkan kepada golongan sasar tersebut yang disampaikan kepada pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Sejumlah lebih kurang tiga puluh ribu anak-anak sekolah kumpulan B40 telah mendapat manfaat menerusi program CSR itu.

Terbaru, sumbangan peralatan persekolahan itu disampaikan kepada seratus anak-anak sekolah di kawasan sekitar Parlimen Kuala Kedah yang disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Pengerusi TNB, Megat Mohd Rafiezi Megat Mohd Rodzi di Dewan Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Menurut Megat Mohd Rafiezi, sumbangan yang diberikan itu menunjukkan bantuan Ceria Ke Sekolah TNB, sampai ke golongan sasar dan sememangnya dinantikan oleh anak-anak sekolah kumpulan B40 terbabit.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa, setiap peruntukan yang disalurkan oleh TNB menerusi program CSR Ceria Ke Sekolah itu, sampai ke tangan golongan sasar. Saya sendiri selaku Pegawai Khas kepada Pengerusi TNB, YB. Datuk Seri Mahdzir Khalid, turun padang menyampaikan sumbangan ini untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar”.

Walau bagaimanapun katanya, dari segi tempoh masa agihan sumbangan tahun ini mengalami sedikit kelewatan berikutan kekangan pergerakan rentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Saya fikir semua pihak memahami situasi kelewatan agihan sumbangan tersebut memandangkan kita dibatasi dengan Covid-19 yang menyebabkan semua pihak terjejas. Namun demikian, kita telah cuba sedaya upaya menyelesaikan agihan sumbangan CSR Ceria Ke Sekolah itu pada awal bulan April lalu semuanya dah selesai”.

Selain peralatan persekolahan, turut diberikan kit ‘Anti-Covid-19’ yang mengandungi pelitup muka dan cecair sanitasi tangan, sesuai dengan situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih berleluasa.

Untuk sumbangan Ceria Ke Sekolah bagi tahun hadapan, TNB juga bercadang untuk menyampaikannya kepada anak-anak kakitangan TNB sendiri sebagai satu bentuk penghargaan kepada kakitangan-kakitangan TNB.

Cadangan pemberian untuk anak-anak kakitangan TNB itu diutarakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri dalam satu majlis penyerahan sumbangan Ceria Ke Sekolah Peringkat Ibu Pejabat TNB baru-baru ini.

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button