JenayahMahkamahNasional

Bekas Pengarah Urusan BNS didakwa pecah amanah RM21.08 juta

Tertuduh juga bekas Panglima Tentera Laut

BEKAS Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta.

Tertuduh yang juga bekas Panglima Tentera Laut itu didakwa meluluskan tiga pembayaran berjumlah RM21.08 juta kepada tiga syarikat berbeza tanpa kelulusan Lembaga Pengarah BNS.

Ramli, 78, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussain.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan pertama, Ramli didakwa melakukan kesalahan dengan meluluskan pemindahan berjumlah RM13,541,140 kepada Setaria Holdings Limited yang berpangkalan di Singapura tanpa kelulusan lembaga pengarah BNS antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa meluluskan pemindahan RM1,350,716 kepada JSD Corporation Pte Ltd yang juga berpangkalan di Singapura tanpa kelulusan lembaga pengarah antara 19 April dan 4 Mei 2011.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, Ramli didakwa meluluskan pemindahan RM6,182,295 kepada Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan lembaga pengarah BNS antara 28 Oktober dan 22 November 2010.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwaan manakala Peguam Mohd Yusof Zainal Abidin mewakili Ramli.

BNS ditugaskan untuk membina enam kapal tentera laut dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang bermasalah.

Projek itu di bawah penelitian Parlimen berhubung kos dan kelewatan pembinaan.

Kapal pertama dilancarkan pada 2017 dan dijadualkan untuk penghantaran pada 2019 dengan bakinya dihantar selang enam bulan.

Kontroversi tercetus selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan keputusan pengurusan dan kontrak yang dibuat oleh dua pegawai pengurusan kanan.

Pada 4 Ogos lalu, PAC dalam laporannya mendedahkan tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus pada 2011.

Tertuduh juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemandu LCS. – SM

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button