Hiburan

150 album, 1,650 buah lagu: Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang 27 Ogos

BARISAN 10 pemuzik terbaik pilihan Pengarah Muzik, Datuk Ramli MS bakal mengiringi persembahan makan malam sempena 50 tahun penglibatan penyanyi Hetty Koes Endang menghiburkan para peminatnya di rantau Asia Tenggara.

Anak kelahiran Jawa Barat berketurunan Sunda, Hetty Koes Endang atau lebih mesra dengan panggilan Bunda, akan mengadakan persembahan berupa Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang bertempat di Manhattan Ballroom, Hotel Berjaya, Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini.

Bulan Ogos juga bulan sambutan ulang tahun kelahiran Bunda yang ke-67. Kita rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos dan Indonesia juga meraikan Hari Kemerdekaan pada bulan yang sama.

Itulah signifikan tarikh 27 Ogos yang dipilih sebagai tarikh persembahan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang.

PERKENALAN di antara Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS terjalin selama 40 tahun dan untuk Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang pada 27 Ogos 2022, Datuk Ram menggalas tugas sebagai Pengarah Muzik.

Jika ikut hitungan tempoh penglibatan Bunda sebagai penyanyi, sebenarnya beliau berdiri teguh lagi kemas di atas pentas menghiburkan peminat sejak 52 tahun yang lalu.

Usia jubli emas lima dekad sebagai penyanyi, dambaan Bunda untuk mengadakan sebuah persembahan berupa konsert menjadi kenyataan setelah impian itu terbantut disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Pada majlis sidang akhbar yang turut dihadiri oleh penganjur konsert, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mahajaya Empire Sdn. Bhd., Abdul Kadir Ibrahim, pengamal media dipertanggujawabkan untuk menguar-uarkan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang.

“52 tahun sebagai artis penyanyi dan sebelum pandemik, saya mahu mengadakan konsert di Jakarta tetapi terhenti.

“Setelah bertemu dengan Abdul Kadir, rakan suami saya, Yusuf Emir Faishal, barulah dapat dilaksanakan konsert,” kata Bunda yang dianugerahkan dengan Book of Records berdasarkan penghasilan 150 album sepanjang 50 tahun menjadi penyanyi.

Hitung kasar, Bunda mempunyai kira-kira 1,650 buah lagu termasuk lagu hits pelbagai genre.

Bunda bukan penyanyi kaleng-kaleng atau biasa-biasa kerana beliau mampu menyanyi dalam pelbagai dialek atau etnik.

Tidak hairanlah jika genre pop sunda dan minang juga terhasil dalam barisan album-album debut Hetty Koes Endang.

Bagi para peminat yang ingin dihiburkan oleh Bunda sambil menikmati sajian makan makan, boleh membeli meja bermula dari RM570 seorang (meja untuk 8 orang) sehingga RM 1,950 seorang (meja untuk 6 orang) boleh segera layari ilassotickets. com. – SM

(Visited 524 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button