Nasional

148 kaunselor disedia tangani trauma Covid-19 – Dr. Adham

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan seramai 148 kaunselor di klinik kesihatan seluruh negara bagi menangani masalah trauma akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, walaupun setakat ini tiada laporan berhubung kebimbangan psikososial, pihaknya sudah bersedia dari segala sudut termasuk penyediaan kaunselor bagi menangani kes seumpama itu.

“Individu atau pelajar yang mengalami trauma akibat Covid-19 atau tahap keyakinan yang rendah terhadap norma baharu boleh mendapatkan rawatan dengan segera.

“Mengenai pembukaan semula sekolah secara berperingkat, KKM telah pun menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pelajar dan pihak sekolah agar tiada kewujudan kluster sekolah apabila dibuka sepenuhnya nanti,” kata beliau dalam Facebook miliknya hari ini.

Dengan peningkatan bilangan pesakit yang dijangkiti wabak Covid-19 saban hari sebelum ini, adalah penting untuk pihak berkuasa menyedari tentang impak psikologi atau kesihatan mental terhadap pandemik tersebut.

Perlu diperjelaskan bahawa pandemik bukan sahaja satu fenomena perubatan tetapi turut menjejaskan ekonomi secara tidak langsung.

Sebagai contoh, sektor pelancongan, perniagaan serta produktiviti organisasi menunjukkan penurunan yang ketara kerana orang ramai tidak lagi pergi melancong, mengurangkan urusan jual beli di tempat awam serta tenaga kerja yang terpaksa menjalani kuarantin merupakan penyebab kepada masalah ini.

Ada yang ditawarkan cuti tanpa gaji serta ada yang hilang pekerjaan ekoran wabak ini.

Ini bermaksud, bukan sahaja gejala penyakit tetapi faktor ekonomi turut memberi kesan kepada masyarakat dan individu secara psikologi sehinga menimbulkan gangguan dalam kehidupan seharian.

Antara impak psikologi yang dikenal pasti termasuklah gejala kemurungan, gemuruh dan stres.
-SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button