Nasional

147,282 kanak-kanak belum layak divaksin, dijangkiti Covid-19

Ibu bapa perlu beri kebenaran bertulis

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan, sebanyak 147,282 kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun yang belum layak menerima vaksin, dijangkiti Covid-19 dalam tempoh enam bulan lalu.

Khairy berkata, daripada jumlah itu, 26 kes kematian Covid-19 adalah membabitkan golongan kanak-kanak tersebut.

Menurut Khairy, bagi tempoh minggu ini sahaja, sebanyak 3,557 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun telah dijangkiti Covid-19.

Susulan kes membabitkan kanak-kanak yang belum layak divaksin itu, kata beliau, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids).

“Dengan penularan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit meletakkan kanak-kanak yang belum divaksinasi dalam kategori berisiko.


“Berdasarkan bukti dan maklumat yang diperolehi, terdapat keperluan untuk memperkenalkan Dasar Pemberian Vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun bagi melindungi mereka daripada komplikasi teruk dan kematian susulan,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran PICKids di Hospital Tunku Azizah (HTA) hari ini.

Khairy berkata, PICKids akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara di hospital-hospital dan pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi mega di Lembah Klang dengan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi dan daya tahan imuniti yang rendah.

Sementara itu, tempahan janji temu vaksinasi dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di sekitar Lembah Klang mulai 1 Februari dan secara berperingkat-peringkat bagi ibu bapa yang berada di luar Lembah Klang.

Khairy berkata, vaksin jenis Pfizer akan digunakan bagi golongan kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Untuk rekod, sebanyak 1,200 kanak-kanak akan menerima dos pertama mereka hari ini.

“Disasarkan sebanyak 80% kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun melengkapkan dos kedua selepas lapan minggu menerima dos pertama,” kata Khairy lagi.

Beliau memberi jaminan bahawa pemberian vaksin Covid-19 itu adalah secara sukarela dan ibu bapa perlu memberi kebenaran bertulis bagi melayakkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin. – SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button