Ekonomi

141 pelanggan menang hadiah kempen Bank Rakyat lebih RM300,000

BANK Rakyat menaraikan ulang tahun ke-66 dengan meraikan 141 pemenang yang memperoleh hadiah keseluruhan melebihi RM300,000 menerusi tiga kempen yang diadakan sebelum ini.

Buat julung kali Bank Rakyat telah menganjurkan Kempen Untuk Anggota Bank Rakyat, Kempen Duit Berganda, dan Kempen DuitNomNom.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, ketiga-tiga kempen tersebut dianjurkan bagi memberi penghargaan kepada pelanggan setia bank tersebut dengan menawarkan pelbagai hadiah lumayan.

Kempen Untuk Anggota Bank Rakyat merupakan kali pertama dianjurkan khas untuk anggota dengan menawarkan saham Bank Rakyat berjumlah RM138,000.

Kempen yang berkonsepkan langgan dan menang tersebut telah menarik lebih 50,000 pelanggan bagi kategori individu dan koperasi.


Mereka telah melanggan Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i sepanjang tempoh tiga bulan kempen dijalankan.

Seramai 33 pelanggan individu telah menerima saham bernilai RM2,000 dan enam koperasi telah menerima saham berjumlah RM11,000.

Salah satu pemenang kategori koperasi bagi kempen tersebut, Pengerusi Koperasi Pekerja-Pekerja Jabatan Perdana Menteri (M) Berhad (KOOP JPM)  Datuk Haji Mohd Zahir Osman berkongsi perasaan terharu dan berterima kasih dengan peluang yang dibuka oleh Bank Rakyat.

Sebagai anggota, pihaknya berasa bertuah atas sokongan yang diberikan dihargai oleh bank tersebut.

Sementara penganjuran Kempen Duit Berganda merupakan inisiatif Bank Rakyat untuk meningkatkan kesedaran pelanggan tentang kepentingan menabung sempena sambutan World Savings Day pada 31 Oktober 2020 lalu.

Kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Sebanyak 529,661 penyertaan telah diterima melalui deposit sekurang-kurangnya RM500.00 melalui Akaun Deposit-i Berjangka, Akaun Simpanan-i, Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah, Akaun Simpanan-i untuk Tabung Qurban, Akaun Simpanan-i Nuri dan Akaun Semasa-i Elektronik (eCAi).

Lima pemenang utama Azizah Ismail dari Meru Raya, Perak; Suria Mohamad Nawi dari Masjid Tanah, Melaka; Sariha Abd Razak dari Pekan, Pahang; Pang Kui dari Tampin, Negeri Sembilan dan Tan Ah Tong @ Tew San dari Lukut dari Negeri Sembilan memperoleh wang tunai sebanyak RM20,210.

Manakala 30 pelanggan bertuah memenangi wang tunai sebanyak RM1,000 pada setiap bulan sepanjang kempen berlangsung.

Pada majlis yang sama Bank Rakyat turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Kempen DuitNomNom yang menawarkan hadiah utama berjumlah RM66,000 untuk pelanggan bertuah yang melakukan transaksi DuitNow dari iRakyat.

Seramai 66 orang pelanggan juga telah menerima wang tunai RM100 sebagai hadiah sagu hati.

Kauthar Omar yang merupakan pemenang utama bagi kempen DuitNomNom berasa bersyukur dan gembira apabila diumumkan sebagai pemenang utama.

Kempen tersebut telah menggalakkan beliau untuk melakukan transaksi lebih banyak melalui DuitNow iRakyat.

Turut hadir bagi menyaksikan sesi penyampaian hadiah secara maya ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman.-SM

 

 

 

 

(Visited 466 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button