Ekonomi

Public Bank, Gamuda Land tandatangani MoU tawar pakej pembiayaan mampan

Public Bank dan Gamuda Land hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembiayaan hartanah untuk projek pembangunan hijau dan mampan.

Melalui MoU ini, Public Bank telah mewujudkan Pakej Pembiayaan Mampan Istimewa untuk pembiayaan akhir bagi projek pembangunan hijau dan mampan oleh Gamuda Land yang meliputi rumah kediaman dan komersial yang telah menerima atau yang mahu mendapatkan pengiktirafan untuk kemampanan daripada Indeks Bangunan Hijau (GBI), GreenRE dan badan pentauliahan lain.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek dan Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng di Menara Public Bank di Kuala Lumpur, hari ini.

Para pengawai pengurusan kanan kedua-dua pihak turut hadir pada majlis tersebut. Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek berkata MoU tersebut menandakan peningkatan Public Bank dalam perjalanan pertumbuhan hijaunya.

“Kumpulan Public Bank komited untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2030 dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. Kumpulan juga komited untuk memperuntukkan sebanyak RM40 billion dalam pembiayaan mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjelang tahun 2025, termasuk pembiayaan untuk bangunan yang diperakui mesra alam,” katanya.

Pakej Pembiayaan Mampan Istimewa Public Bank yang diberikan kepada projek pembiayaan akhir Gamuda Land itu termasuk faedah yang bersesuaian, kelulusan cepat dan pilihan pembiayaan untuk pelanggan membeli peralatan mesra alam dan jimat tenaga selain kelengkapan untuk meningkatkan lagi kemampanan hartanah hijau mereka.

“Dengan bahagian pasaran yang kukuh masing-masing sebanyak 20.5% dan 34.0% dalam pembiayaan hartanah kediaman dan bukan kediaman di Malaysia setakat bulan Mac 2022, Public Bank bersiap sedia untuk memainkan peranannya untuk bekerjasama dengan Gamuda Land bagi memacu agenda kemampanan sektor hartanah,” kata Tay.

Tay juga memuji Gamuda Land kerana mencapai pengiktirafan untuk perbandaran Gamuda Cove dalam “Cabaran Bandar Karbon Rendah 2030” yang diberikan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Dalam ucapannya, Chee Meng berkata, Pelan Hijau Gamuda (GGP) adalah rangka kerja komprehensif yang merumus sasaran ketara yang dipacu pada dimensi ESG untuk lima tahun yang akan datang dan seterusnya.

Pelan ini memastikan kumpulan melaksanakan langkah-langkah khusus untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau secara langsung dan tidak langsung sebanyak 30% pada tahun 2025 dan 45% menjelang tahun 2030, tambahnya.

“Melangkah ke hadapan, semua pembangunan Gamuda Land di peringkat tempatan dan
antarabangsa akan menjadi bangunan hijau yang diperakui. Justeru, inilah masa yang
paling tepat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang bepandangan serupa untuk
memajukan agenda hijau, seperti Public Bank,” kata Chee Meng.

Chee Meng menambah, pembangunan mampan oleh Gamuda Land serta komitmen Public Bank untuk menjadikan pembiayaan mesra alam lebih mudah diperoleh, akan mewujudkan masa hadapan yang lebih mesra alam dan baik untuk generasi akan datang. – SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button