Luar Negara

Vaksin Covid-19: Sinopharm memulakan ujian klinikal fasa ketiga

SYARIKAT farmaseutikal gergasi dari China, Sinopharm memulakan ujian klinikal fasa ketiga semalam bagi menguji vaksin Covid-19, di Peru.

Profesor perubatan di Universidad Peruana Cayetani Heredia yang juga ketua ujian percubaan vaksin, Germán Malaga berkata, mereka berharap untuk memberikan vaksin tersebut kepada 3,000 orang.

Selain itu, katanya, 3,000 lagi peserta mungkin akan diberikan vaksin berkenaan di Universidad Nacional Mayor de San Marcos bermula minggu depan.

Seramai 20 sukarelawan dijadualkan menerima vaksin tersebut termasuk doktor, doktor haiwan, peguam, pakar psikologi dan diplomat.

Mulai Isnin depan pula, Malaga berkata, 12 peserta akan diberikan vaksin tersebut dalam masa sejam, menjadikan jumlahnya sekitar 90 peserta dalam masa sehari.

Fasa ketiga ujian klinikal di Peru ini akan merangkumi 6,000 individu berumur antara 18 dan 75 tahun.

Kira kira 2,000 peserta akan menerima strain virus dari Wuhan, 2,000 lagi akan menerima strain dari Beijing dan selebihnya plasebo air masin.

Selepas menerima dos pertama, kesemua peserta akan menunggu sebulan sebelum menerima dos kedua. Mereka akan dipantau selama empat bulan dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan pada setiap hari.

Vaksin tersebut dibangunkan China National Biotec Group (CNBG), anak syarikat National Pharmaceutical Group Sinopharm. Vaksin itu turut diuji di Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maghribi dan Argentina.

Sinopharm telah memberikan 30,000 dos kepada sukarelawan manakala 10,000 lagi peserta telah menerima dua kali ganda dos vaksin dalam ujian sebelumnya di Bahrain dan UAE.

Ujian lebih lanjut akan dilakukan di Maghribi dan Argentina. Peru antara negara paling teruk terjejas akibat Covid-19, merekodkan 696,190 kes positif dengan 30,123 kes kematian.

Sementara itu, korban Covid-19 global melepasi 900,000 orang, lapor agensi berita Xinhua. Jumlah korban kini mencecah 900,079 manakala terdapat lebih 27.6 juta kes di seluruh dunia, menurut data Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk diancam dengan 6,356,310 kes dan 190,649 kematian, menyumbang kepada lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian global.

Brazil mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia, sebanyak 127,464 diikuti India dengan 73,890 korban.

India baru-baru ini mengatasi Brazil sebagai negara yang merekodkan jumlah kes kedua tertinggi di dunia, melebihi 4.3 juta.

Negara yang mencatatkan lebih 30,000 kematian termasuk Mexico, Britain, Itali, Perancis dan Peru. –  SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button