fbpx
Nasional

COVID-19: 135 pulih, 45 positif dan satu kematian hari ini

SEBANYAK 135 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj dilaporkan hari ini, tiga kali ganda daripada kes baharu disahkan COVID-19 iaitu 45 kes setakat 12 tengah hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,702 kes iaitu 73.15 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

36 KES
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Katanya bagi jumlah kes positif COVID-19 pula mencatatkan 6,428 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,619 kes dengan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 45 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan. Ini bermakna kes penularan tempatan adalah sebanyak 44 kes, dengan satu kes telah dikesan daripada kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 hari ini.

Sehingga kini, katanya, seramai 22 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sembilan kes memerlukan bantuan pernafasan.


Beliau berkata, terdapat satu kematian direkodkan dengan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 107 kes iaitu 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-107 (kes ke-2,380) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, lelaki itu telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mei pukul 2.53 petang.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga semalam sebanyak 217 kes positif telah dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Jelasnya, 65 kes telah didiscaj dan 152 kes masih dirawat manakala tujuh pesakit telah dirujuk semula ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, terdapat seramai 212 orang anggota kesihatan yang bertugas di pusat itu daripada pelbagai kategori. Sehingga kini, pesakit stabil telah diterima daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh dan beberapa Pejabat Kesihatan Daerah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, dengan beroperasinya pusat kuarantin tersebut, HKL telah boleh meneruskan semula kebanyakan perkhidmatannya misalnya kes pembedahan elektif.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, susulan tindakan agresif kerajaan dengan menggunakan pendekatan tertumpu, lebih banyak kes telah dapat dikenal pasti, dan kini jumlah kes didapati sedikit menurun.

“Namun situasi ini masih berubah mengikut hari dan masih terlalu awal untuk mengisytiharkan bahaya COVID-19 sebagai rendah. KKM ingin mengingatkan bahawa penurunan jumlah kes tidak seharusnya membuatkan masyarakat alpa dan terlalu mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malah mereka harus berterusan mengekalkan segala usaha selama ini dalam memerangi virus ini bersama kerajaan,” katanya.- BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button