Acara

1,298 Sekolah di Sabah Sertai Kempen Internet Selamat

TAWAU, 13 Jun 2025 – Sebanyak 1,298 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah akan terlibat dalam Kempen Internet Selamat (KIS), satu inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kempen ini dirancang secara berperingkat dan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian bagi murid-murid sekolah, menerusi pendekatan pendidikan yang bersesuaian dengan peringkat umur dan tahap pemahaman mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, dalam rangka lawatan kerja beliau ke Sabah, telah hadir ke majlis pelaksanaan KIS di Sekolah Menengah Holy Trinity, Tawau. Sekolah ini menjadi sekolah menengah pertama di daerah Tawau yang melaksanakan kempen ini, melibatkan penyertaan seramai 290 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Modul KIS bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai keselamatan Internet, termasuk mengenal pasti risiko dalam talian, memahami tanggungjawab sebagai pengguna Internet, serta menyedari kesan jangka panjang penggunaan Internet secara tidak bertanggungjawab.

Antara elemen penting dalam modul ini termasuk:

  • Membezakan maklumat sahih dan palsu di Internet;
  • Menilai risiko pendedahan maklumat peribadi secara terbuka;
  • Mengenal pasti tanda-tanda pengantunan seksual dalam talian;
  • Mengaplikasikan kemahiran berfikir secara kritikal dan empati;
  • Membuat keputusan yang selamat dan bertanggungjawab ketika berinteraksi di alam maya.

Dengan pelaksanaan KIS di seluruh negeri, diharapkan murid-murid Sabah akan lebih celik digital, lebih berdaya tahan terhadap ancaman dalam talian, dan seterusnya menjadi pengguna Internet yang beretika dan bertanggungjawab.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button