NasionalNegeri

Kemesraan Pemangku Raja Perlis dengan rakyat dikagumi Menteri Kesihatan

MENTERI Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa melahirkan kekaguman setelah berpeluang melihat sendiri kemesraan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail apabila bersama dengan rakyat jelata yang sangat dikasihi Baginda.

Beliau menyertai Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bermula dan berakhir di perkarangan Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Jalan Raja Syed Alwi Kangar hari ini.

Setelah menyertai program kayuhan tersebut Dr. Zaliha menyifatkan aktiviti ini bukan sahaja untuk menjaga kesihatan tetapi saling bermesra dan berkongsi rezeki, selain dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Dari pemerhatian saya, program ini bukan sahaja dipelbagaikan malah ia juga menjadi satu instrumen yang membuatkan rakyat berasa sangat dekat dengan pimpinan tertinggi negeri khususnya Pemangku Raja dan pimpinan-pimpinan daripada agensi-agensi Negeri dan Persekutuan yang lain,” ujarnya.

Menteri Kesihatan juga berharap Program Kayuhan MAIPs Peduli diteruskan dari semasa ke semasa dan program seperti ini dapat dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.

Beliau turut menyatakan program kali ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir buat dirinya dan pasukan akan hadir ke Perlis malah banyak lagi kerjasama yang dapat dijalankan bersama pimpinan negeri Perlis ini.

Dr. Zaliha berbesar hati kerana dapat menyertai dan mengiringi Pemangku Raja Perlis menyelami usaha menyantuni asnaf di negeri ini.

Menerusi program kayuhan ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan singgah di tiga rumah asnaf terpilih sekitar Kampung Kota dan Kampung Guar Syed Alwi dekat Kangar.

Tiga asnaf berkenaan adalah Amir Mat Alim, 36, Abdullah Yusof, 77 dan Hamzah Chat, 74. Masing-masing menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700 daripada MAIPs yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Program kayuhan sejauh 15 kilometer tersebut turut disertai sama oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Norhayati Rusli dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr. Asmayani Khalib.

Hadir menyambut ialah Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang turut membentangkan senarai kerjasama yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MAIPs bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis demi untuk kesejahteraan hidup masyarakat di negeri Perlis ini. – SM

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button