Nasional

12 termasuk 2 wanita ditahan terlibat aktiviti perjudian atas talian

SEBANYAK 12 individu termasuk dua wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian atas talian dalam serbuan yang dilakukan di sebuah kondominium di Sri Petaling, Kuala Lumpur petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 2 petang oleh sepasukan anggota dari IPD Brickfields bersama Pegawai Makmal Forensik Bukit Aman dan Pakar Judi Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka berada di dalam rumah berkenaan bersama beberapa peralatan komputer riba dan telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk menjalankan akitiviti perjudian.

“Analisa pakar judi ke atas peralatan-peralatan yang ditemukan di dalam rumah tersebut mendapati wujud unsur-unsur yang disyaki berkaitan dengan aktiviti perjudian,” katanya.

Menurut Anuar, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun turut mengaku terlibat dalam menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

Jelasnya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas 105 telefon bimbit pelbagai jenama, 12 komputer riba, dua set komputer dan beberapa barangan lain.

“Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan -SM

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button