Nasional

Sanusi beri keterangan kepada SPRM

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim.
Katanya, SPRM kini di peringkat akhir bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.
Menurut beliau, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dipanggil bagi melengkapkan siasatan berkenaan.
“Bagi melengkapkan kertas siasatan ini juga, SPRM telah memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Hishamuddin bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia.
Kes rasuah membabitkan persatuan bola sepak itu disiasat SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri itu.
Siasatan mendapati mereka dijanjikan projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan sekiranya menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak terbabit.
Namun selepas dana disalurkan ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit. – SM
(Visited 28 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button