Politik

1.2 juta pengundi pada PRN Sarawak berlangsung 18 Disember

SERAMAI 1,252,014 juta pengundi akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Disember ini.

Daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 2 November itu terdiri daripada 1,228,858 juta orang pengundi biasa, 12,585 orang anggota tentera dan pasangan, 10,458 orang anggota polis PGA dan pasangan serta 113 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 12 hari untuk tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Disember ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya telah menetapkan 6 Disember sebagai hari penamaan calon dan hari mengundi awal pada 14 Disember.

Sebanyak 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada pilihan raya berkenaan.

“SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-12 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN tersebut berikutan berlakunya pembubaran DUN Sarawak Ke-11 pada 3 November lalu.

“Tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember 2021 (Isnin) sehingga pukul 11.59 malam, 17 Disember 2021 (Jumaat),” katanya dalam kenyataan di sini.

Permohonan undi pos luar negara dan dalam negara melibatkan warga negara dan agensi sektor keselamatan dan kesihatan iaitu kategori Borang 1B dan 1C telah dibuka bermula 8 November 2021 sehingga 24 November 2021.

Pengundi bagi kategori Borang 1A iaitu Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media pula dibuka bermula 24 November 2021 sehingga 3 Disember 2021.

“Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dilaksanakan secara dalam talian (online) berbanding secara manual sebelum ini,” katanya.

Permohonan untuk mengundi secara pos ini boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my

Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

SPR telah melantik 82 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 249 orang Penolong Pegawai Pengurus.

Seramai 46,565 orang petugas akan dilantik dengan 1,866 pusat pengundi biasa dan 85 pusat mengundi awal akan digunakan.-SM

 

 

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button