Nasional

Kerajaan beri perhatian serius bantu Kelantan tangani kadar kemiskinan

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beri jaminan Kerajaan akan memberi perhatian serius dalam menangani kadar kemiskinan di Kelantan dengan peruntukan RM124 juta kepada hampir 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian golongan M40.

Menurut beliau, BKM merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.

Malah beliau turut memberi jaminan untuk membantu menangani miskin tegar dengan kaedah baharu yang holistik melibatkan semua kementerian, agensi swasta, universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sedang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menghapuskan miskin tegar menjelang 2025.

“Bagi memastikan ekonomi negeri ini digerakkan sepenuhnya. Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Ia melibatkan Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuham Tok Bali,” ujarnya sewaktu berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, hari ini.

Ismail Sabri berkata, usaha kerajaan membantu Kelantan dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion dan dijangka menjana sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan penduduk tempatan.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan juga akan membin sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan melibatkan kos RM6 juta di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh.

Menurut Perdana Menteri lagi, pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang 192 kilometer dengan kos RM7.7 bilion antara Gua Musang hingga Kuala Krai dijangka siap pada 2026 akan memudahkan perjalanan rakyat serta meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.

“Dalam bidang kesihatan sebanysk 12 projek pembinaan klinik kesihatan serta kuarters dijangka siap dibina pada tahun ini manakala dua lagi projek dalam pembinaan iaitu di Gua Musang dan Hospital Bachok yang merangkumi 76 buah katil dijangka siap tahun hadapan,” ujarnya.

Ujar beliau, pembinaan jambatan  Palekbang di Tumpat akan menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu dijangka siap pada 2025.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukan sebanyak RM2.6 bilion melibatkan 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu di negeri ini.

Jelasnya, Kelantan juga akan memperoleh manfaat daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang melibatkan jaringan kawasan 43.86km dan mempunyai dua stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bahru.

Katanya lagi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sedang dinaiktaraf mampu menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada 4 juta setahun dijangka siap pada 2025. – SM

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button