MahkamahNasionalUncategorized

Rewcastle Brown mohon peguam negara gugur tuduhan fitnah jenayah

PENGARANG Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown akan menghantar representasi kepada peguam negara bagi memohon tuduhan jenayah fitnah yang dihadapinya, digugurkan.

Peguam Guok Ngek Seng berkata, langkah itu susulan penolakan Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah RM300 juta difailkan Sultanah Terengganu Nur Zahirah terhadap wartawan British itu, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan Chong Ton Sin dan syarikat percetakan, Vinlin Press Sdn Bhd.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Kien How @ Johan Abdullah pada 31 Oktober lalu memutuskan kenyataan yang dipertikaikan itu dalam buku berjudul, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”, yang menjadi subjek kepada saman, tidak mengandungi fitnah terhadap Sultanah.

“Kami akan hantar representasi secepat mungkin memandangkan Mahkamah Tinggi sudah menolak saman itu atas imbangan kebarangkalian yang merupakan standard pembuktian yang lebih rendah,” Guok memberitahu FMT.

Standard pembuktian melampaui keraguan munasabah diperlukan dalam prosiding jenayah yang mana lebih tinggi daripada standard ditetapkan bagi tindakan sivil.

Guok berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas mengenai niatnya untuk mengemukakan representasi bagi pihak Rewcastle Brown ketika pengurusan kes, hari ini.

Pada September, Rewcastle Brown dituduh secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran tertuduh di mahkamah) kerana memfitnah Sultanah dalam buku berkenaan yang dikeluarkan di Malaysia, empat tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Haslinda Che Seman memaklumkan kepada Nicholas kes sudah dijadual bermula di Kuala Terengganu, bulan depan.

Pada Oktober, Rewcastle Brown memohon kes terbabit dipindahkan dari mahkamah majistret Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur bagaimana pun ia ditolak.

Permohonan dijadual didengar hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan namun pendengaran ditangguh susulan Haslinda yang mengendalikan kes cuti sakit.

Mahkamah menetapkan pendengaran pada 2 Februari depan. – FMT – SM

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button