Nasional

Ismail Sabri masuk UM berasaskan merit- jelas Presiden PARFUM

BARU-BARU ini seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Andrew Peris mempertikaikan kelayakan pendidikan dan integriti Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sewaktu beliau diterima masuk untuk meneruskan pengajian Ijazah Perundangan (LLB) di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM).

Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang mewakili bekas graduan Fakulti Undang-Undang UM telah tampil untuk menyatakan sudut pandang berkenaan komen yang berbaur fitnah yang dibuat oleh Andrew Peris.

Menurut Shahrizat, komen tersebut boleh dianggap sebagai satu tindakan untuk mencemar dan memburukkan imej Ismail Sabri dan mencalar reputasi Fakulti Undang-Undang UM.

“Ketika Ismail Sabri diterima masuk pada tahun 1980, Allahyarham Tan Sri Dato’ Profesor Ahmad Ibrahim merupakan Dekan yang menguruskan keseluruhan Fakulti. Dengan sifat integriti yang amat tinggi, adalah sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan ke Fakulti Undang-Undang UM sebagai penuntut.

“Jelas bahawa penerimaan masuk Ismail Sabri ke Fakulti Undang-Undang UM adalah berasaskan merit. Ismail Sabri juga telah membuktikan beliau wajar mendapat biasiswa semasa pengajiannya di UM apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan seterusnya diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara,” katanya di laman Facebook miliknya.

Shahrizat berkata, Allahyarham Ahmad Ibrahim merupakan seorang tokoh perundangan tersohor bukan hanya di Malaysia, malah di Singapura dan di rantau Asia.

“Beliau amat disegani atas sifat integriti dan kebijaksanaannya yang mendahului masa ketika itu.

“Selaku Dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk fakulti mahupun para pelajar yang diterima masuk adalah amat tinggi dan tanpa kompromi terutama pencapaian akademik pelajar-pelajar,” katanya.

Jelasnya lagi, Fakulti Undang-Undang UM adalah yang pertama dan terulung di negara ini serta telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Peguam-Peguam dan ahli-ahli korporat yang disegani, dalam hampir 50 tahun penubuhannya pada tahun ini.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, Ismail Sabri telah mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik walaupun dibesarkan dalam keluarga yang sederhana.

“Walaupun Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau telah mengatasi cabaran dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Beliau telah melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang UM yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya. -SM

(Visited 356 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button