Mahkamah

Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah terima deposit RM581,000 tanpa lesen sah

Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit pelaburan berjumlah RM581,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Noryani Abdullah, 56, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Noryani didakwa menerima deposit wang pelaburan daripada Fatimah Abdullah, 61, keseluruhan berjumlah RM581,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank tertuduh.

Perbuatan itu adalah untuk tujuan perniagaan pelaburan tanpa suatu lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan dilakukan tertuduh antara 8 Januari 2020 sehingga 26 Oktober 2020 dan 16 Februari 2021 sehingga 24 September 2021 di Maybank Cawangan Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-dua sekali, bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal serta Aliff Asraf Anuar Sharuddin masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak bekerja selain mempunyai masalah kesihatan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mohd Sabri dan Darmafikri menetapkan tarikh 11 Ogos depan sebagai sebutan semula kes tersebut. – SM

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button