Nasional

NUJUM tidak bawa tuntutan ke Mahkamah Perusahaan

BEKAS kakitangan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad (digulung) ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung (NUJ) cawangan Utusan Melayu (NUJUM) tidak perlu bawa tuntutan ke Mahkamah Perusahaan.

Ini kerana, borang bukti hutang yang dikemukakan ahli seramai hampir 200 orang itu masih sah dan tidak dinafikan oleh pihak pelikuidasi syarikat.

Kesemua ahli sebelum ini menfailkan tuntutan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memastikan pampasan penamatan pekerjaan diberikan.

Menurut Perjanjian Bersama (CA) dengan majikan, kakitangan berhak mendapat pampasan penamatan pekerjaan berdasarkan tahun bekerja.

Dianggarkan, sebanyak RM5 juta dituntut oleh kesemua ahli bekas kakitangan Utusan berdasarkan kepada pengiraan yang dinyatakan dalam CA berkenaan.

“Kesemua ahli NUJUM telah pun memfailkan jumlah keberhutangan masing-masing melalui borang bukti hutang (POD) sebelum mesyuarat bersama pemiutang kali yang pertama pada 06 November 2019.

“Namun, tiada sebarang jawapan tepat diperolehi oleh pihak NUJUM selepas itu menyebabkan tindakan di Mahkamah Tinggi difailkan.

“Justeru, pada 2 November 2020 lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan borang bukti hutang yang difailkan sebelum ini adalah sah dan tidak ditolak oleh pelikuidasi.

“Maka, ia masih lagi sah dengan kenyataan pihak pelikuidasi bahawa kesemua borang tersebut sedang menjalani proses adjudikasi.

“Oleh demikian, NUJUM tidak perlu merujuk kepada Mahkamah Perusahaan buat masa ini.”

Demikian kata NUJUM menerusi satu kenyataannya hari ini berhubung perkembangan perbicaraan terhadap tuntutan pampasan dan faedah penamatan pekerjaan.

Terdahulu, Utusan mengisytiharkan penggulungan secara sukarela selepas syarikat itu diilapor tidak lagi mampu untuk beroperasi berikutan tanggungan hutang yang banyak.

Susulan itu, semua kakitangan diberhentikan secara serentak pada 9 Oktober 2019 menyaksikan hampir 800 pekerja terdiri daripada kumpulan sokongan, wartawan, jurugambar, artis grafik, penyunting Utusan Malaysia dan Kosmo dan kakitangan pengurusan kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun,  akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo kembali diterbitkan pada Ogos lalu di bawah syarikat Media Mulia Sdn Bhd dengan menyerap kembali sebahagian kecil bekas kakitangan Utusan.

Dalam pada itu, NUJUM menambah, pihak peguam akan mengambil tindakan susulan termasuk memantau perkembangan bayaran pampasan dan mendapatkan pengesahan pengiraan manfaat penamatan.

“Pihak NUJUM selepas daripada ini melalui Peguamcaranya akan membuat susulan dengan pihak UHY (pelikuidasi) bagi mendapatkan pengesahan berkenaan dengan pengiraan manfaat penamatan sebagaimana yang difahamkan sedang diproses.

“Justeru, kedudukan semasa adalah pihak NUJUM bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Memandangkan ia selari dengan matlamat utama perjuangan pihak NUJUM untuk tuntutan pampasan penamatan.

“Sebagaimana CA mestilah diiktiraf dan diproses oleh pihak Pelikuidasi yang mana proses-proses pengiraan adalah sedang dibuat.

“Pampasan penamatan ini adalah penting buat ahli-ahli NUJUM yang rata-rata amat mengharapkan satu suntikan kewangan sebagai hak ahli-ahli yang dijanjikan.

“Tambahan pula, keadaan ekonomi dalam suasana semasa yang bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Tentunya amat memeritkan buat ahli-ahli kami dan peluang untuk mendapat tawaran kerja baru dalam situasi semasa adalah satu perkara yang amat sukar berlaku,” ujarnya. – SM

(Visited 461 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka
Back to top button