AgamaNasional

111 bakal jemaah haji terkandas tuntut ganti rugi RM3 juta

SEBANYAK 111 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini bakal memfailkan tuntutan sivil dan ganti rugi RM3 juta di Mahkamah Tinggi terhadap sebuah agensi pelancongan atas dakwaan penipuan pakej haji.

Menurut wakil peguam, Muhammad Nazrin Mohd Seth, tuntutan tersebut difailkan menerusi firma guaman Tetuan Toriq Seth and Partner.

Beliau berkata, jumlah kerugian yang dicatatkan setakat ini dianggarkan RM3 juta berserta dengan ganti rugi emosi dan teladan.

Nazrin berkata, meskipun terdapat laporan media mengatakan pihak agensi yang terlibat mahu membuat pembayaran secara berperingkat-peringkat namun sehingga kini, masih belum ada bakal jemaah yang menerima wang mereka.

“Wang yang telah dibelanjakan oleh jemaah haji untuk menunaikan ibadah haji yang mana pihak agensi pelancongan terlibat sehingga kini masih gagal, enggan, abai untuk dikembalikan setelah pihak agensi menyempurnakan tawaran mereka kepada jemaah.

“Pihak jemaah yang terlibat telah bersedia dengan maklumat dan dokumen masing-masing untuk meneruskan dengan tuntutan,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Kesenian dan Budaya (MOTAC) untuk melaksanakan penguatkuasaan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

“MOTAC boleh melakukan siasatan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 41 akta tersebut berhubung peristiwa yang telah berlaku,” katanya.

Untuk makluman, terdapat kira-kira 100 laporan polis telah dibuat oleh bakal jemaah terlibat namun didakwa hanya sebahagian sahaja yang telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Malah kata Nazrin, terdapat juga laporan tambahan yang mana bakal jemaah memaklumkan pihak agensi telah meminta 10 cap cari mereka untuk tujuan pemprosesan visa.

“Keadaan ini membimbangkan pihak jemaah. Mereka bimbang cap jari tersebut berada di dalam rekod milik pihak agensi pelancongan berkenaan dan boleh disalahgunakan bagi tujuan lain yang boleh dikaitkan dengan jemaah tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya juga memohon pertimbangan Tabung Haji agar memberikan keutamaan kepada bakal jemaah haji yang terkandas baru-baru ini untuk mengerjakan haji pada tahun depan melalui muassasah Tabung Haji.

Pada 7 Julai lalu, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Lima individu termasuk pemilik agensi pelancongan yang dipercayai terbabit dalam insiden tersebut telah ditahan. Bagaimanapun sehingga kini mereka masih belum disabitkan sebagai bersalah. – SM

(Visited 253 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button