Bencana alam

11 penghuni pangsapuri berdepan detik cemas

SEBELAS penghuni di sebuah pangsapuri 3 tingkat di Persiaran Syed Putra di sini, berdepan detik cemas apabila tebing tanah berhampiran kediaman mereka runtuh akibat hujan lebat, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira 10 malam dan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

“Sejurus menerima panggilan, bomba mengerahkan 17 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh untuk melihat kejadian tebing runtuh itu.

“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat hakisan tanah tebing menyebabkan bahagian bawah bangunan pangsapuri itu yang mempunyai keseluruhan 6 unit rumah terjejas akibat hakisan tanah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ekoran itu, beliau berkata semua 11 penghuni rumah terlibat dinasihatkan keluar atas faktor keselamatan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat penilaian bahawa kediaman berkenaan tidak selamat diduduki buat sementara.

Jurucakap bomba itu berkata pemeriksaan di sekitar lokasi mendapati sebuah rumah kongsi dibina di atas tebing bukit itu yang didiami 7 penghuni terdiri daripada 5 lelaki dan 2 wanita dewasa warga asing.

“Mereka (penghuni warga asing) juga diarahkan keluar dan kes ini diserahkan kepada DBKL untuk tindakan selanjutnya,” katanya dan menambah operasi itu tamat kira-kira 11.45 malam.-SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button