Nasional

1,098 pelajar SPM MRSM dapat semua A

SEBANYAK 8,095 calon dari 53 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara telah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan semua mereka lulus dalam semua mata pelajara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,098 calon berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata, pencapaian amat memberangsangkan berbanding tahun lalu iaitu seramai 761 pelajar saja dapat semua A.

“Lapan MRSM menunjukkan prestasi cemerlang dengan Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi, MRSM Taiping, MRSM Alor Gajah, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Johor Bahru, MRSM Kuantan dan MRSM Pengkalan Hulu.

“SPM 2020 bagi MRSM mencatatkan indeks GPM 2.359 dan keputusan ini menunjukkan peningkatan prestasi berbanding SPM 2019 (2.538) dan SPM 2018 (2.458),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen pengurusan MARA dan MRSM serta semua guru yang memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2020.

“Sinergi semua pihak dalam memastikan segala program yang disusun berjalan lancar walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19.

“MARA akan terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon-calon SPM tahun 2021 menerusi pelbagai inisiatif.

“Antara inisiatif yang diambil ialah menetapkan pakej mata pelajaran dengan memberi fokus kepada bilangan maksimum subjek yang diambil serta menyusun semula peruntukan sela masa bagi subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

(Visited 404 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button