PolitikPRK

Ketua Wanita UMNO pula terkejut dengan SPR

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan syarat kepada calon atau parti yang berkempen dari rumah ke rumah perlu mempunyai permit ketika pilihan raya telah mengejutkan banyak pihak dan yang terbaharu Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Noraini melahirkan rasa dukacita selain menganggapnya keterlaluan seolah-olah ada cubaan untuk menyekat kebebasan berkempen ketika musim Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai.

Beliau mempertikaikan relevannya tindakan mengejutkan oleh SPR yang secara tiba-tiba mengeluarkan arahan sedemikian untuk mendapatkan permit Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Perlu ingat ya, ini adalah pilihan raya dan tidak sepatutnya SPR keluarkan seperti ini seakan-akan mahu menyekat kebebasan berkempen.

“Tindak tanduk ini sungguh mendukacitakan malah bukan hal seperti ini yang ‘remeh’ perlu diketengahkan oleh SPR pada masa ini, sebaliknya isu pelanggaran akta pilihan raya yang lebih serius seperti pemberian wang.

“Itu yang sepatutnya menjadi fokus anda, terang lagi bersuluh isu memberi wang ini tetapi lain yang menjadi keutamaan. Memang pelik,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun semalam mengumumkan parti dan calon yang hendak berkempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis.

Peraturan ini kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen PRK Parlimen Tanjung Piai berbaki dua hari lagi.

Noraini melihat tindakan itu seolah-olah kerajaan terdesak untuk menyekat kemenangan Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai.

“Adakah SPR terpaksa dan dipaksa untuk melakukan sesuatu bagi mengekang situasi ini? Kami dari Wanita UMNO ingin beri sedikit nasihat, tolonglah bersikap lebih telus dan belajar apakah itu maksud ‘berkecuali’,” katanya.

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button