Politik

Bertanding di Sarawak, Ali Biju bakal dikenakan tindakan disiplin

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian bakal dikenakan disiplin kerana melanggar peraturan parti.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, di bawah Perlembagaan Bersatu bahawa mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas.

Menurut Wan Saiful, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin telah membuat pengumuman rasmi bawa Bersatu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan akan membantu Gabungan Parti Sarawak.

“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini.

“Saya menyeru semua ahli Bersatu untuk sama-sama berganding bahu memastikan kemenangan besar buat rakan kita GPS dalam PRN ini. Mari kita gunakan keberadaan kita untuk membantu kemenangan rakan sepasukan,” katanya.

Menurut Wan Saiful, antara tindakan disiplin yang boleh diambil termasuk digugurkan keahlian daripada parti.

Ali Biju yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian berdepan saingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (PSB), Danny Kuan (PBK) san Friday Belik (GPS).

Beliau memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016.

Pada 27 November lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu tidak bertanding dalam PRN-12 Sarawak.

Sebaliknya kata beliau, BERSATU akan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Disember nanti.

Muhyiddin berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, yang juga Presiden GPS.

Dua hari lalu, Ali, menafikan beliau menyerahkan kerusinya, Krian, kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah beliau memberi bayangan masih mempertimbangkan untuk terus bertanding di situ bagi menjadi wakil rakyat untuk penggal ketiga.

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button