Nasional

Hubungan bermasyarakat penting untuk depani cabaran – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua bahawa hubungan bermasyaraka penting dalam mendepani segala cabaran masa hadapan.

Titah baginda, menerusi hubungan kemasyarakatan yang erat, sebuah generasi yang seimbang dari segi moral dan intelektual akan dapat dibentuk.

“Di samping itu ia dapat menyemai budaya bertolak ansur, memahami antara satu sama lain, dan memupuk semangat perpaduan jitu dalam kalangan rakyat tanpa mengira warna kulit, kaum dan keturunan,” titah baginda.

Bagidan bertitah demikian sempena ‘Program Kayuhan Tautan Kasih: FGV Prihatin, MAIPs Peduli 2022’ anjuran FGV Holdings Berhad yang diadakan di Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak pada petang semalam.

Keberangkatan baginda ke program kayuhan amal bagi kali keempat bersama FGV diiringi Pengerusi FGV Holdings Berhad, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor.

Kira-kira 150 orang peserta termasuklah ahli-ahli Kelab Berbasikal TTG Perlis dan juga TTG Kuala Lumpur turut mengambil bahagian.

Turut serta ialah Mufti Perlis Prof. Madya Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, melalui pendekatan bersemuka sambil bermesra seperti program kayuhan itu, ia turut memberi peluang kepada semua pihak terutamanya FGV dan Felda menguatkan lagi hubungan bermasyarakat dan bersosial dengan komuniti di sekitar kawasan operasi syarikat mereka.

Justeru, Tuanku Raja Muda menggalakkan lebih banyak lagi syarikat korporat seperti FGV untuk tampil meneruskan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan agar semua pihak khususnya golongan yang memerlukan dapat turut sama merasai sedikit limpahan ‘nikmat’ yang dikecapi oleh syarikat-syarikat korporat ini.

Program dimulakan dengan penyempurnaan penanaman sepohon pokok Durian Udang Merah oleh Tuanku Raja Muda Perlis sebagai simbolik tanda kenangan keberangkatan baginda ke Felda berkenaan.

Selain berbasikal sejauh 15 kilometer singgah menyaksikan penyerahan sumbangan daripada pihak FGV oleh Mohd Nazrul Izan di tiga buah rumah asnaf terpilih, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan Zakat FGV kepada seramai 27 orang asnaf terpilih, lima buah sekolah agama rakyat dan Masjid Felda Gunung Besout 2 daripada Dzulkifli.

Program penuh bermakna kepada penduduk setempat itu berakhir dengan baginda menyertai anak-anak kariah masjid berkenaan menunaikan solat maghrib secara berjamaah. – SM

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button