Nasional

1,000 orang terjejas banjir di Johor setakat 4 petang

BENCANA banjir di Johor menjejaskan empat daerah setakat 4 petang tadi dengan 1,000 mangsa daripada 274 keluarga dipindahkan ke 14 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata Kulai menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu ekoran hujan sederhana lebat yang berterusan sejak pagi Jumaat, selepas Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi.

“Setakat 4 petang, enam PPS dibuka di Johor Bahru, Kota Tinggi (5), Kulai (2) manakala Kluang (1),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Vidyananthan, seramai 690 orang daripada 189 keluarga yang terjejas di Johor Bahru melibatkan penduduk di Kampung Laut Batu 10 Skudai, Kampung Sentosa Barat, Kampung Sentosa Damai, Lorong Aris Batu 8 Skudai serta Rumah Orang Tua Sam Poh.

Kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 Skudai; Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai; Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina)) Kuo Kuang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai, SMK Bukit Mutiara serta Dewan raya Kampung Sungai Tiram.

Beliau berkata 188 orang daripada 53 keluarga terjejas di Kota Tinggi pula melibatkan penduduk di Kampung Bukit Raja, Kampung Sri Delima, Kampung Sri Jaya, Kampung Muhibbah, Kampung Sedili Kecil serta Kampung Lepau, dengan kesemuanya ditempatkan di PPS SK Telok Ramunia, SK Sungai Telor, Dewan Kampung Muhibbah, SK Sedili Kecil serta Balai raya Kampung Lepau.

Di Kulai, 99 orang daripada 25 keluarga dari Kampung Sungai Siam dan Kampung Jaya Sepakat ditempatkan di PPS SK Murni Jaya dan SK Senai manakala di Kluang seramai 23 orang daripada tujuh keluarga di Kampung Yap Tau Sah berada di PPS SJK (Cina) Ping Ming.

Beliau berkata laluan FT092 Jalan Pengerang-Kota Tinggi ditutup sementara selepas ditenggelami air. – BERNAMA

(Visited 371 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button