Rencah Hidup

1,000 murtabak habis dijual dalam 90 minit

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah pepatah yang sesuai buat peniaga Ahmad Rais Fikri Rosli, 27, apabila 1,000 biji murtabak yang dijual pada setiap hari sekitar 3 petang laris hanya dalam tempoh 90 minit.

Pembeli sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk mendapatkan tempahan murtabak yang terkenal dengan nama ‘Murtabak Kadok’ itu untuk juadah berbuka puasa.

Ahmad Rais ketika ditemui berkata, permintaan pada bulan Ramadan meningkat hampir dua kali ganda berbanding bulan biasa iaitu sekitar 400 biji.

“Resipi untuk menghasilkan inti murtabak ini adalah resipi turun temurun daripada emak saya, dan rasanya masih kekal sama sejak kami mula berniaga pada tahun 1993,” kata anak sulung dari lima beradik itu yang menjalankan perniagaan turun temurun daripada ibunya Kamisah Ab Majid, 51.

Akur kepada Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan serta penjarakan sosial, Ahmad Rais yang dibantu adik-beradiknya, berkata penanda jarak sosial satu meter diletakkan di antara setiap pelanggan yang beratur.

Murtabak yang menjadi pilihan ramai adalah daging dan ayam yang dijual pada harga RM5 sebiji, selain pelanggan juga mempunyai pilihan inti istimewa antaranya dengan campuran keju, pisang dan kismis serta udang yang dijual pada harga RM7 hingga RM8 sebiji.

“Pada bulan biasa kami turut menawarkan murtabak sejuk beku yang sering mendapat permintaan daripada pelanggan luar Kelantan namun setiap kali tiba bulan Ramadan kami terpaksa menghentikan dulu sementara bagi pilihan murtabak sejuk beku untuk memenuhi permintaan semasa.

“Sepanjang tempoh PKP ini kami turut menawarkan perkhidmatan penghantaran secara terus kepada pelanggan di sekitar Kota Bharu, Bachok, Machang dan Tumpat dengan kadar perjalanan bermula sekitar RM3 hingga RM7 bergantung kepada jarak perjalanan,” katanya. – BERNAMA

(Visited 436 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button