Nasional

1,000 lampu jalan solar akan dipasang di Perak

PERAK menyasarkan untuk memasang 1,000 unit lampu jalan solar pintar di kawasan yang memerlukan termasuk pedalaman dan perkampungan Orang Asli, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata pemasangan lampu ini yang berharga lebih RM7,000 seunit bergantung kepada spesifikasi akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan.

“Ramai penduduk kampung Orang Asli mengadu kekurangan pencahayaan yang mencukupi dan menuntut kerajaan negeri memasang lampu jalan.

“Dulu ada program di mana bil elektrik dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar (kini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), tetapi terlalu banyak kampung menyebabkan kerajaan tidak mampu membayarnya.

“Dengan teknologi ini, tidak akan timbul isu bil elektrik lagi kerana ia menggunakan tenaga solar dan membolehkan kita menjimatkan kos,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pemeliharaan bangunan Pusat Dagangan Techno Perak (PTTC) @ Meru Raya dengan penggunaan lampu jalan solar pintar dan panel solar atas bumbung di sini malam tadi.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan pencahayaan solar dan perlu diutamakan kerana menerima banyak permohonan dari seluruh negeri termasuk penempatan Felda.

Sementara itu, beliau berkata lebih banyak kawasan pentadbiran di negeri ini termasuk Manjung dan Tanjung Malim berpotensi mencapai status sebuah bandar raya.

“Selain Manjung yang sudah menyatakan kesediaannya, Tanjung Malim juga dijangka menyaksikan pertambahan penduduk apabila ramai pekerja industri berpindah ke kawasan itu. Justeru, banyak kemudahan akan dibina seperti sekolah, pasar dan hospital yang akan menggalakkan pembangunan bandar baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa kriteria perlu dipenuhi dan diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Kerajaan Tempatan, seperti jumlah penduduk, untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah bandar raya, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk menyediakan perumahan tambahan bagi menampung pertambahan penduduk, sambil menambah perlu ada entiti yang mengawal pembangunan ke arah mencapai status bandar. -SM

BACA JUGA : Gading Kencana rancang bina ladang solar di Kedah

 

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button