Nasional

100 anak yatim dan asnaf terima sumbangan kelengkapan persekolahan

ARAU, 11 Mac — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Hari-Hari Bumi Jaya Sdn Bhd, menyerahkan sumbangan berupa kelengkapan persekolahan kepada 100 orang anak yatim dan golongan asnaf di Perlis.

Pemberian tersebut adalah baucer Pusat Pakaian Hari-Hari bernilai RM150 setiap seorang, sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata sebanyak tiga buah rumah kebajikan dan kariah Arau, telah dipilih bagi menerima sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini amat bermakna buat anak-anak ini, yang kelihatan amat teruja bagi mendapat kelengkapan persekolahan masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan penyerahan cek oleh Hari-Hari Bumi Jaya Sdn Bhd kepada MAIPs.

Sementara itu, Pengarah Hari-Hari Bumi Jaya Sdn Bhd, Amilludin Latip berkata pihaknya berharap pemberian sumbangan berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan, dapat memberi manfaat kepada setiap penerima terlibat.

Amiludin berkata beliau memahami kesukaran yang dihadapi golongan asnaf, dalam menyediakan kelengkapan persekolahan buat anak-anak mereka, khususnya dengan keadaan ekonomi pada masa kini.

“Kita sedia maklum dengan faktor ekonomi yang melanda negara ketika ini, dan disebabkan itulah pihak kami tampil dengan inisiatif ini bagi membantu asnaf memerlukan,” katanya.

Salah seorang penerima Nur Nuri Hussin, 30, berkata, beliau amat berbesar hati dengan pemberian berkenaan, yang dapat mengurangkan bebanan ditanggung mereka bagi menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Saya sangat bersyukur dengan pemberian ini, memandangkan kami mempunyai tanggungan lima orang anak dan sumbangan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan buat kami,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button