Politik

Anwar perlu buktikan ada aura lebih hebat daripada Tun M untuk jadi PM

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan kepada rakyat bahawa beliau mempunyai aura yang lebih hebat daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Ahli Parlimen Simpang Rengam Dr. Maszlee Malik berkata, Anwar perlu membuktikan bahawa dia mampu menjinakkan Warisan, PBB dan GPS yang mempunyai citarasa dan maharnya sendiri untuk dibawa berunding.

Jelas Maszlee untuk mengambil alih kerajaan pusat dan menjadi perdana menteri, Anwar Ibrahim perlu membuktikan beliau mampu meraih sekurang-kurangnya 95 kerusi dari Semenanjung sebagai bekalan untuk dibawa berunding dengan blok Borneo.

“Sehingga hari ini, manusia yang paling mampu menjinakkan ketiga-tiga kategori ini ialah Tun Dr. Mahathir. Beliau telah membuktikannya sebelum ini dan beliau yang terlihat paling ‘credible’ untuk melakukannya.

“Persoalannya, dengan ketidaktentuan dan tanpa aura Tun Dr. Mahathir, mampukah Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Pakatan Harapan dan menang lagi pada PRU15 nanti?” tanya Maszlee.

Selain itu Maszlee berkata, hayat Pakatan Harapan sangat bergantung kepada Dr. Mahathir dan Anwar.

Menurut Maszlee, kedua-dua tokoh politik itu dapat memastikan Pakatan Harapan tidak terus menjadi pembangkang sampai bila-bila.

“Mahu tidak mahu, dua tokoh besar Pakatan Harapan iaitu Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu segera mencari cara untuk memperbaharui gandingan mantap mereka dengan melupakan segala kemelut masa lalu.

“Kedua-dua tokoh ini tidak asing dalam landskap politik Malaysia. Kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing. Sekarang, hayat Pakatan Harapan sangat bergantung kepada kedua-dua tokoh ini. Jika tidak, Pakatan Harapan akan terus menjadi pembangkang sampai bila-bila,” kata Maszlee.

Maszlee merayu dan menyeru untuk semua pihak mengutamakan kepentingan negara berbanding cita-cita peribadi.

Jelas Maszlee, kejayaan dan pencapaian PH selama ini ialah hasil penat lelah semua pihak termasuk rakyat dan  penjawat awam.

“Sekiranya perdebatan tentang siapa PM ini terus menjadi bualan terbuka dan tidak ditamatkan, PH akan terlihat mempunyai krisis dalaman yang tak sudah, momentum akan terus hilang dan akhirnya, kita telah membiarkan negara ini terus ditadbir oleh Kerajaan yang korup dan rosak.

“Sudah sampai masanya untuk kita tamatkan sandiwara ini, mencari titik pertemuan segera untuk terus berganding bahu dan kembali mentadbir negara,” rayu Maszlee.-SM

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button