NasionalNegeri

10 unit alat bantuan pernafasan ditambah di Hospital Sibu

KERAJAAN Sarawak akan membekalkan 10 unit mesin bantuan pernafasan kepada Hospital Sibu dalam masa terdekat ini bagi menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 di hospital itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini Hospital Sibu hanya mempunyai tiga unit mesin bantuan pernafasan.

Beliau berkata, penambahan tersebut amat diperlukan berikutan peningkatan kes Covid-19 di bahagian berkenaan sejak kebelakangan ini.

Selain itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga akan menambah jumlah pusat kuarantin di Sibu di mana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) kini sedang mengenal pasti bangunan yang boleh dijadikan sebagai pusat kuarantin.

“Tindakan ini diambil bagi menambah baik usaha kita untuk mengekang penularan Covid-19. Ini termasuk aspek penyediaan fasiliti, pusat kuarantin dan logistik (yang baik),” katanya hari ini.

Beliau berkata, JPBBS juga telah diarah mencari jalan untuk menambah baik logistik untuk membawa penduduk dari rumah-rumah panjang, penempatan terpencil dan pedalaman yang positif Covid-19 ke pusat kuarantin.

Perbelanjaan logistik ditanggung kerajaan negeri. Kita juga tidak mahu pesakit Covid-19 tinggal dalam rumah panjang kerana ia boleh merebak kepada penghuni rumah panjang lain, katanya.

Abang Johari berkata lagi, penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Sibu juga perlu dipertingkatkan lagi.

“Sekiranya ada keperluan, tenaga anggota tentera termasuk anggota askar Wataniah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga akan digemblingkan untuk memastikan penguatkuasaan lebih berkesan.

“Penduduk setempat juga boleh memberi penjelasan mengenai bahaya Covid-19 dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil dengan bahasa mudah difahami penduduk tempatan,” ujar beliau.

Ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum juga, tegas Abang Johari, boleh memainkan peranan untuk memberi nasihat kepada anak-anak buah masing-masing agar sentiasa mematuhi SOP. – BERNAMA – SM

 

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button