Jenayah

Judi: Mustahil pemilik Hot Burger memfitnah, kata bekas menteri KDN

BEKAS menteri dalam negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak percaya pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid membuat fitnah terhadap kewujudan beberapa premis judi di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh.

Ahmad Zahid yang berasa kasihan dengan nasib Mohd Asri dan percaya pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia itu cuma mahu pihak berkuasa mengambil tindakan dengan berkesan terhadap premis judi berkenaan..

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, secara peribadi beliau menyokong  sebarang tindakan untuk menutup premis judi yang perlu disegerakan.

“Saya kasihan dengan nasib pengasas Hot Burger. Mustahil dia buat fitnah. Kepentingan dia cuma mahu penguatkuasa dijalankan secara berkesan.

“Aktiviti judi haram berleluasa. Yang menjadi mangsa mereka yang berpendapatan rendah tetapi mahu cepat kaya. Akhirnya mereka merana,”
kata Ahmad Zahid.

Mohd Asri menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia mendedahkan kewujudan beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Menurut Mohd. Asri, dia terpaksa mendedahkan kegiatan yang berlaku di kawasan itu kerana tiada pilihan lain dan sudah kehabisan cara untuk memperjuangkan perkara berkenaan.

Mohd Asri berkata, tindakannya membuat siaran langsung itu kerana kecewa dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang didakwa ‘pilih bulu’ dengan peniaga di kawasan terbabit.

Video itu menjadi tular di media sosial dan ditonton oleh jutaan orang hingga memaksa pihak polis melakukan enam serbuan ke atas premis yang ditularkan dalam Facebook Hot Burger Malaysia.

Superintendan Shafa’aton Abu Bakar.

“Lima daripadanya kosong, manakala satu premis masih beroperasi,” kata Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar. Shafa’aton dalam sidang akhbarnya menyifatkan ‘pendedahan’ Mohd. Asri sebagai tomahan.

Menurut Shafa’aton, Mohd. Asri tidak pernah tampil memaklumkan kepada polis kewujudan premis judi dan penjualan rokok seludup oleh warga asing dari Aceh, di kawasan berkenaan.

Shafa’aton berkata, tindakan pengadu memuat naik dua video secara langsung menerusi akaun Facebook Hot Burger Malaysia semalam boleh menimbulkan fitnah.

Menurutnya, video itu merosakkan imej Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Polis Diraja Malaysia dan Ketua Polis Selangor.

“Kita sedang mengesannya dan akan memanggilnya dalam masa terdekat untuk menjalankan siasatan, termasuk mendapatkan maklumat mengenai pendedahannya,” katanya.-SM

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button