Agamapilihan

10 amalan pada awal bulan Zulhijjah ini penuh dengan keistimewaan

BEBERAPA hari lagi kita akan bertemu dengan bulan Zulhijjah. Bulan haram, maksudnya tidak dibenarkan berperang kerana dianggap sebagai bulan yang suci.

Ini adalah 10 amalan yang untuk meningkatkan pahala anda.

  1. MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Untuk yang melakukan ibadah korban, disunatkan tidak memotong kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbanya disembelih.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتّ يُضَحِّيَ


Maksudnya: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا

Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini merupakan pendapat Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ia juga adalah pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi’e.

  1. BERPUASA PADA HARI ARAFAH

Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْد

Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”

(HR Muslim, hadis sahih)

 

LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH:

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta’ala.”

Walau bagaimanapun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, para jemaah haji sedang melakukan amalan melontar jamrah di Mina.

Manakala bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji pula, digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Kita dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”

(HR Muslim, hadis sahih)

 

  1. PERBANYAKKAN BERDOA DAN SALING MENDOAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN

Nabi Muhammad SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

(HR al-Tirmizi, hadis hasan)

Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”

(HR Muslim, hadis sahih)

Saling mendoakan antara satu sama lain dengan mengucapkan:

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu.”

Daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

  1. MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA DENGAN TAKBIR

Sabda Nabi Muhammad SAW:

زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير

Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”

(HR al-Thabarani)

Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.

‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata: “Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”

Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:

 

  1. Takbir Mursal atau Mutlaq (المرسل أو المطلق)
  • Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.

 

  1. Takbir Muqayyad (المقيد)
  • Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).
  1. PERBANYAKKAN BERZIKIR

Hadis Nabi Muhammad SAW:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

(HR Ahmad, hadis sahih)

  1. PERBANYAKKAN SEDEKAH DAN MENGHUBUNGKAN SILATURAHIM

Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda

صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَ

تَزِيدُ فِي الْعمْر

Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”

(HR al-Thabarani, hadis hasan)

  1. MENTADABBUR AYAT AL-QURAN

Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran sewaktu membacanya.

Firman Allah SWT:

أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا

Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”

(Surah al-Nisa’: 82)

  1. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA DAN TIDAK MENJAMAH MAKANAN SEBELUMNYA

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.”

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

Sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk tidak mengambil sarapan terlebih dahulu

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم َلا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar (ke tempat solat) pada Aidilfitri sehingga beliau makan terlebih dahulu, dan beliau tidak makan terlebih dahulu pada Aidiladha sehingga beliau solat terlebih dahulu.”

(HR al-Tirmizi, hadis sahih)

  1. MELAKUKAN IBADAH KORBAN BAGI YANG MAMPU

Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

(HR al-Tirmizi, hadis hasan)

  1. MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN KEPADA ASNAF FAKIR MISKIN

Bagi mereka yang bukan melakukan ibadah korban nazar atau korban wajib, disunatkan untuk memakan sedikit daging korban sebagai sekadar mengambil berkat dan menyedekahkan bakinya kepada golongan fakir miskin.

Firman Allah SWT:

فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ

Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.”

(Surah al-Hajj: 28)

Menurut Imam Ibnu hajar

“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama dari hari yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Terhimpunnya amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.”

(Fath al-Bari, sanad hasan)

Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ibadah sunat lain yang boleh kita lakukan di bulan Zulhijjah ini, namun berikut adalah antara amalan yang boleh kita lakukan

Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.

تَقَبَلَ اللّٰهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ

 

(Visited 75 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button