Politik

44 tahun ganyang, hentam BN, hari ini kita kawan– Mat Sabu

MOHAMAD Sabu dalam ceramahnya mengingatkan semua pengundi DUN Tioman untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Johari Hussain.

Pesanan itu dibuat oleh Mat Sabu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil ketetapan supaya calon mereka Mohd Fadzli Mohd Ramly memberi laluan kepada calon tersebut.

Itu selepas diambil kira perkembangan pembentukan kerajaan negeri dan Exco di Pahang dan Persekutuan yang menyaksikan kerjasama antara BN dan PH.

Mat Sabu ketika ditanya bagaimanakah beliau akan memulakan kerjasama selepas 44 tahun mengganyang dan menghentam BN?

Kata Mat Sabu, beliau mengakui pada awal kerjasama, itulah yang ditanya oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presidenn UMNO Mohamad Hasan bagaimanakah beliau akan berceramah sepentas dengan UMNO selepas 44 tahun “menghentam” mereka.

“Saya pun tidak tahu bagaimana nak bermula. Kita dalam politik boleh berubah kawan dan rakan tetapi tidak akan mengubah matlamat dan dasar yang kita pegang.

“Kita akan ambil kritikan pembangkang, teguran rakyat untuk membina negara yang lebih baik dengan menjunjung Perlembagaan yang ada,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN bagi pilihan raya itu, Mat Sabu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang tentangan daripada pimpinan negeri berhubung keputusan itu.

“Setakat ini tiada tentangan. Pasal rungutan itu perkara biasa. Insya-Allah kita boleh uruskan.

“Ini keputusan parti  dan apabila keputusan dibuat, semua kena patuh. Kalau ada yang tak berpuas hati, saya ingat itu sementara,” ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai jika kerjasama sedemikian akan diteruskan di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di beberapa negeri akan datang, katanya, ia akan diputuskan berdasarkan perkembangan semasa.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan diadakan pada 7 Disember ini setelah ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli.

Allahyarham Md Yunus, 61, meninggal dunia pada awal pagi, sekitar pukul 3.30 pagi pada hari pengundian 19 November, baru-baru ini. Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Pilihan raya DUN Tionman menyaksikan persaingan lima penjuru antara Mohd Johari, Mohd Fadzli, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – SUMBER FMT – SM

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button